Tuesday, July 28, 2009

Koperasi enggan serah balik Kampung Buah Pala

PULAU PINANG 27 Julai - Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang (KPKPP) selaku pemilik tunggal tanah Kampung Buah Pala di Bukit Gelugor di sini bertegas tidak akan menyerahkannya kepada mana-mana pihak.

Pengerusinya, Abdul Razak Mansor menegaskan, pihaknya tidak pernah terlintas untuk membuat keputusan seumpama itu dan ia adalah muktamad kerana tanah diperoleh mengikut proses undang-undang yang sah.

Menurutnya, Koperasi sudah pun membuat perjanjian dengan pemaju Nusmetro Ventures (P) Sdn. Bhd. (Nusmetro) bagi membangunkan kawasan itu dan sekiranya kelulusan pembangunan dibatalkan, mereka akan membiarkan tanah itu kosong.

''Apa sekali pun terjadi, keputusan kami adalah muktamad iaitu tanah milik KPKPP tidak akan diserahkan kepada sesiapa sekali pun, kami hendak dapat pun susah, tak kan nak beri balik pula.
''Permohonan pihak kami ke atas tanah itu juga dibuat berdasarkan kertas cadangan diserahkan kepada kerajaan negeri dan bukan dibeli untuk kepentingan peribadi," tegas beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang mencadangkan supaya sebahagian tanah seluas 2.6 hektar diberi kepada penduduk Kampung Buah Pala seperti dilaporkan pada Jumaat lalu.

Pada masa yang sama, Abdul Razak menegaskan, KPKPP juga tidak akan melayan sebarang permintaan daripada kerajaan negeri untuk mengadakan rundingan bagi membincangkan mengenai perkara itu.

Menurut beliau, sebelum ini, pihaknya pernah menghantar surat untuk bertemu dengan Ketua Menteri dan juga timbalannya, Mansor Osman bagi mencari penyelesaian masalah itu, namun tidak dilayan.

''Sampai sekarang kami tidak pernah menerima maklum balas daripada mereka untuk berjumpa dan berbincang sedangkan kami adalah pemilik tunggal tanah di situ," katanya

No comments:

Post a Comment