PULAU PINANG 27 Julai - Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang Bhd., pemilik tanah seluas 2.6 hektar di Kampung Buah Pala, hari ini menyifatkan tindakan kerajaan negeri menarik balik kelulusan pelan pembangunan di tapak itu sebagai satu bentuk ugutan.
Pengerusinya, Abdul Razak Mansor berkata, pihaknya tidak akan mengalah dengan ugutan itu dan akan mencari jalan untuk meneruskan hasratnya untuk membangunkan kawasan berkenaan demi kepentingan anggotanya.
Katanya, keputusan Mahkamah Persekutuan yang memberikan hak tanah itu kepada koperasi berkenaan adalah kekal dan semua pihak harus menghormatinya.
Ketika dihubungi Bernama di sini, katanya, koperasi itu tidak bersetuju terhadap sebarang tindakan pemaju Nusmetro Ventures (P) Sdn. Bhd. untuk berkompromi dengan kerajaan negeri dan setakat ini pendirian itu kekal.
“Jika perlu, kita akan mengambil tindakan menghina mahkamah terhadap mana-mana pihak yang cuba menghalang pembangunan di tanah yang kami perolehi secara sah itu dan sebarang tindakan akan mengambil kira keadaan selepas 2 Ogos ini,” katanya. - Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment