Tuesday, July 21, 2009

PEMBANGUNAN KG BUAH PALA

Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang Berhad telah ditubuhkan pada 16 Mac, 1925 . Anggota koperasi ini ialah seramai 3,500 orang dan anggota-anggotanya adalah terdiri dari pegawai kerajaan yang berbilang kaum dan berkhidmat di pelbagai jabatan Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Anggota koperasi adalah merupakan rakyat negeri Pulau Pinang dan sebagai pengundi berdaftar bagi negeri Pulau Pinang amnya dan dun Seri Delima khususnya bagi mewakili kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

Semenjak daripada tahun 1925 (lebih kurang 84 tahun) sehingga kini koperasi ini bersama-sama dengan anggota-anggotanya telah banyak memberi sumbangan perkhidmatan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan keseluruhan rakyat negeri ini.

Koperasi ini menjalankan aktiviti kredit dan membantu menyelesaikan masalah anggota-anggotanya. Hasil daripada keuntungan diperolehi, koperasi memberi sumbangan kepada anggota-anggota melalui dividen dan di samping itu beberapa aktiviti-aktiviti kebajikan dijalankan juga untuk anggota-anggota koperasi.

Kami ingin memaklumkan bahawa proses permohonan tanah oleh koperasi berlaku semenjak tahun 1997 dan permohonan adalah secara ikhlas dan tiada unsur rasuah dan penipuan ataupun frod kerana ianya melalui permohonan yang sah kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang ketika itu.

Justeru itu pada tahun 1998 koperasi ini bercadang mempelbagaikan perniagaan sehingga koperasi memohon sebidang tanah di lot 336, Seksyen 19, Bandar Georgetown, DTL, seluas 27,116 kp@ 2,519.13 M2 (Iaitu tanah yang sekarang ini digunakan untuk pembinaan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, di sebelah Dewan Sri Pinang) dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang ketika itu telah meluluskan permohonan koperasi untuk memberimilik tanah kerajaan tersebut kepada Koperasi pada 25 Ogos 1998. Walau bagaimanapun atas kepentingan kerajaan disebabkan tidak cukup keluasan tanah untuk membina dan memperluaskan mahkamah tinggi tersebut maka tanah itu diserahkan balik kepada Kerajaan Negeri untuk membina Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. Dan kerajaan negeri berbincang dan berjanji akan gantikan tanah yang lain untuk koperasi.

Pada tahun 2001 koperasi diminta membuat permohonan bertulis kepada Pihak Berkuasa Negeri untuk memohon tanah di atas lot 698, Bandar Gelugor, Daerah Timur Laut, seluar 2.630 hektar untuk tujuan pembangunan perumahan sebagai menggantikan lot 336, Seksyen 19, Bandar Georgetown, Pulau Pinang.

Sekitar Jun 2005, kelulusan permohonan pemberian milik tanah di Lot 698, Bandar Gelugor, DTL, Pulau Pinang seluas 6.5 ekar diterima dan diberikan kepada Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang Berhad.

Pada tahun 2005 juga Koperasi memulakan menawarkan kepada pemaju-pemaju yang berminat untuk membangunkan tanah tersebut.

Daripada 17 kertas cadangan(proposal) daripada pemaju-pemaju disenarai pendek hanya lima syarikat didapati berwibawa dan dibawa dalam Mesyuarat untuk pemilihan dan Lembaga mencadangkan kelima-lima pemaju yang terpilih untuk pemilihan terakhir dalam Mesyuarat Agung Khas nanti.

Pemilihan syarikat-syarikat ini dibentangkan dalam Mesyuarat Agung Khas yang diadakan pada 24 September 2005 dan Anggota-anggota perwakilan memutuskan Syarikat Nusmetro Venture(P) Berhad untuk membangunkan tanah tersebut.

Berdasarkan perkara ini kami sekali lagi memaklumkan proses permohonan tanah tersebut adalah mengikut proses yang betul serta mengikut peraturan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan koperasi tidak terlibat langsung dengan penipuan, frod atau rasuah bagi mendapatkan tanah tersebut.

Malangnya Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini telah membuat tuduhan yang tidak berasas walaupun sebagai badan koperasi kami tidak mengamalkan penipuan dan rasuah. Kami memohon dengan niat yang ikhlas bagi membangunkan koperasi dan anggota-anggota koperasi ini dan sekaligus membantu pembangunan Ekonomi Negeri Pulau Pinang.

Kami percaya dan yakin dapat membantu memajukan Negeri Pulau Pinang kerana dengan pembangunan ini akan menambahkan ekonomi rakyat Negeri ini dan juga memberi pendapatan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang secara tidak langsung.

Walau bagaimanapun, kami sungguh dukacita dan terkilan dengan sikap Kerajaan Negeri Pulau Pinang semenjak mengambil alih Pulau Pinang kerana telah menuduhkan koperasi ini bermacam-macam dan menaruh prasangka buruk kepada koperasi dan perkara ini berlarutan walaupun kami terpaksa ke Mahkamah Rayuan dan juga Mahkamah Persekutuan tetapi akhirnya keputusan memihak kepada kami.

Sehubungan dengan ini kami sungguh hairan mengapa bermacam-macam tohmahan dilontarkan terhadap kami walaupun kami memperolehi keputusan mahkamah yang mana koperasi merupakan pemilik yang sah di atas tanah tersebut.


Pihak penduduk telah bersetuju bersama-sama dengan koperasi untuk menyelesaikan kes ini di mahkamah setelah perbincangan awal bersama Pegawai Daerah, Adun Seri Delima, penduduk dan koperasi gagal mencapai kata sepakat berkenaan perkara tersebut. Oleh itu kedua-dua pihak harus bertanggungjawab terhadap segala kerugian yang akan ditanggung oleh kedua-dua pihak.Tohmahan menyatakan koperasi diskriminasi terhadap penduduk adalah tidak benar kerana kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menyelesaikan kes ini di mahkhamah. Institusi kehakiman merupakan badan yang dihormati di negara kita dan sebarang pencabulan terhadap badan tersebut merupakan penghinaan pada badan tersebut. Kami menyeru semua pihak supaya menghormati keputusan badan tersebut bagi menjamin keadilan pada semua pihak.

Perkara ini merupakan tuduhan tanpa alasan dan boleh menyebabkan koperasi mengambil tindakan undang-undang nanti terhadap kesemua pihak yang terlibat khususnya apabila tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menyebabkan kami terdedah kepada tindakan undang-undang oleh pembeli-pembeli yang telah menandatangani perjanjian jual beli dengan kami dan pihak Pemaju serta juga tindakan oleh pihak kontraktor projek.

Disebabkan kami menghormati Ketua Menteri kami dan bersetuju sebelum memberi notis mahkamah untuk milikan kosong premis-premis di Kampung Buah Pala pada tempoh hari itu. Atas keperihatinan serta menghormati permintaan Ketua Menteri, Timbalan Ketua Menteri 1 dan Timbalan Ketua Menteri 2 maka kami pun memberi tempoh untuk melanjutkan tarikh mendapatkan milikan kosong ke 3 Ogos 2009 iaitu sebulan daripada tarikh melekatkan notis pada 2 Julai 2009 kerana ingin memberi peluang kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk berbincang dengan penduduk-penduduk Kampung Buah Pala ini bagi mencapai satu penyelesaian secara aman.

Kami berharap dapatlah Kerajaan Negeri Pulau Pinang ini mengambil langkah-langkah yang adil untuk semua pihak sebab kerajaan seharusnya membuat keputusan bagi kebaikan semua lapisan rakyat dan tidak mengabaikan satu bahagian rakyat untuk sebahagian yang lain.

Kami menyeru kepada Koperasi-koperasi di seluruh Negara dapat memberi sokongan di atas usaha-usaha kami demi kejayaan koperasi ini.

1 comment:

  1. Harapkan Pagar Pagar Makan Padi

    Helen Brown menyerahkan Kg Buah Pala kepada Kerajaan persekutuan sebagai pemegang amanah untuk diduduki oleh keluarga pekerja ladangnya. Bila Akta Housing Trust dimansuhkan pada 1976, Kerajaan persekutuan telah menyerahkan tanah ini kepada kerajaan negeri. Dan sekarang keturunan pekerja ladang Helen Brown di aniaya dan tanah bernilai RM60 juta di beri kepada Koperasi Pegawai Kerajaan pada harga RM3 juta.

    Lazimnya "arms-length" transaction mesti di niagakan pada sekitar harga pasaran. Jika tidak memang timbul prasangka buruk yang ini adalalah “insider dealing” yang menipu rakyat Pulau Pinang. Di manakah penilain perunding harta yang menyokong harga RM3 juta. Ini sangat penting kerana Setiausaha Kerajaan Negeri & Pegawai Tanah yang terlibat dalam mengesyorkan kelulusan mempunyai "conflict of interest" yang ketara kerana mereka juga yang menrajui Koperasi.

    UMNO/MCA/Gerakan tidak pernah berani mengambil Tanah Tol yang di duduki Kampung Tersusun Melayu atau Kg Baru China dan jual kepada orang ketiga pada 5% harga pasaran. UMNO/MCA/Gerakan sebaliknya sibuk meluluskan pajakan 99 tahun kepada penduduk Kg Tersusun/Kg Baru pada harga RM1.50/kaki persegi. DAP pula pantas meluluskan pajakan 999 tahun kepada Kg Baru di Perak.

    Di sebaliknya pekerja ladang keturunan India yang turun temurun bekerja seperti hamba abdi di usir keluar bila tanah ladang merka dibangunkan. Jarang sekali ada ladang yang menyediakan tanah amanah untuk diduduki keluarga pekerjanya seperti ini. Malangnya Kerajaan Barisan telah menganiaya mereka.

    Kerajaan DAP/PKR pun berlaku curang. Malaysia amalkan Sistem Torrens – pendaftaran oleh Land Office adalah bukti muktamad yang tidak boleh dipertikaikan di mahkahmah. Beranikah DAP/PKR mengeluarkan Geran Pendaftaran sebegini sekiranya tanah terlibat itu Kg Baru China/Kg Tersusun Melayu.

    ReplyDelete