Thursday, October 1, 2009

Kg Buah Pala: Guan Eng diminta dedah minit mesyuarat exco

Pemuda MIC meminta Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng supaya mendedahkan minit mesyuarat excoo negeri berhubung isu Kampung Buah Pala sejak setahun lalu.

'Ini akan membolehkan rakyat, terutama penduduk Kampung Buah Pala, untuk mengetahui setakat mana usaha kerajaan Pulau Pinang untuk menghalang perobohan kampung tersebut," kata Ketuanya, T Mohan dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kerajaan negeri seharusnya berani mendesklasifikasikan semula minit mesyuarat tersebut untuk menunjukkan bahawa ia benar-benar mengamalkan CAT (Kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan) dan tidak bersembunyi di sebalik kerahsiaan.

"Ianya bukan persoalan sama ada kerajaan negeri sekarang telah memberi kelulusan tanah tersebut kepada Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang Bhd atau kelulusan pembangunan kepada pemaju, atau mengeluarkan arahan mengusir penduduk kampung tersebut, tetapi keutamaannya ialah untuk mengetahui kebenaran berhubung usaha kerajaan negeri untuk menyelamatkan Kampung BUah Pala daripada dirobohkan," katanya.

Menurut Mohan lagi, Guan Eng tidak teragak-agak untuk mengklafikasikan semula minit mesyuarat exco kerajaan negeri sebelumnya pada Julai lalu, kerana ia menguntungkannya.

"Tetapi apabila ianya membabitkan kerajaan pimpinannya, beliau nampak keberatan untuk mendesklafikasikan semula minit mesyuarat exco - satu petanda jelas bahawa beliau menyembunyikan sesuatu.

"Tindakan Guan Eng itu umpama 'Udang di sebalik batu' di mana beliau ada sesuatu yang akan mendedahkan kelemahan kerajaannya yang beliau tidak berani mendedahkannya.

"Kita berpandangan bahawa kerajaan negeri sekarang tidak mesra rakyat dan bersembunyi di sebalik kerahsiaan untuk menipu rakyat melalui slogan kosong mereka," katanya.

Pemuda MIC juga menggesa Guan Eng berdebat dengan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon bagi memberi peluang kepada rakyat mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.

Menurut Mohan, kerajaan Guan Eng sentiasa menyalahkan kerajaan negeri sebelumnya, "tetapi apakah yang telah mereka lakukan untuk memastikan hak penduduk Kampung Buah Pala tidak terjejas".

Kampung Buah Pala seluas 2.6 hektar, dirobohkah pada 14 September lalu oleh syarikat pemaju Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd untuk memajukannya melalui usahasama dengan pemiliknya, Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Sumber:Malaysiakini

No comments:

Post a Comment